Sejarah dan latar belakang Sebatian_gas_adi

Pada asalnya, gas-gas adi dipercayai tidak boleh membentuk sebatian disebabkan petala valens elektron mereka yang penuh yang menjadikan mereka stabil dan tidak bertindak balas dari segi kimia.

Semua gas adi mempunyai petala elektron s dan p yang penuh (kecuali helium yang tidak mempunyai subpetala p), dan disebabkan inilah mereka tidak membentuk sebatian dengan mudah. Disebabkan tenaga pengionan mereka yang tinggi dan hampir sifar affiniti elektron, gas-gas adi tidak dijangkakan untuk menjadi reaktif.

Pada 1933, Linus Pauling menjangkakan yang gas-gas adi yang lebih berat boleh membentuk sebatian dengan fluorin dan oksigen. Lebih tepat lagi, beliau meramalkan kewujudan kripton heksafluorida (KrF6) dan xenon heksafluorida (XeF6), mengagak yang XeF8 mungkin wujud dalam bentuk sebatian yang tidak stabil, dan mencadangkan yang asid xenik akan membentuk garam perxenat. Ramalan ini terbukti agak tepat, walaupun ramalan-ramalan susulan bagi XeF8 menyatakan bahawa ia bukan sahaja akan tidak stabil secara termodinamik, malah juga tidak stabil secara kinematik. Sehingga tahun 2009, XeF8 masih belum dapat dihasilkan, tetapi anion oktofluoroxenat(VI) (XeF2−
8
) telah diperhatikan.

Gas-gas adi yang lebih berat mempunyai lebih banyak petala elektron daripada gas-gas adi yang lebih ringan. Oleh itu, elektron-elektron yang paling luar mengalami kesan pelindung daripada elektron-elektron dalaman yang menjadikan mereka lebih senang diionkan, kerana mereka kurang tertarik kepada nukleus atom yang bercas positif. Ini memberikan tenaga pengionan yang cukup rendah untuk membentuk sebatian yang stabil dengan unsur-unsur yang paling elektronegatif seperti fluorin dan oksigen, malahan juga dengan unsur-unsur yang kurang keelektronegatifannya seperti nitrogen dan karbon dalam keadaan-keadaan tertentu.